SEMBANG BOLA

JADUAL LIGA SUPER 2012

31 Mac 2012 (Sabtu)

SABAH lwn Selangor
(Std. Likas, 8.15 mlm)

02 January 2012

Khairul Fahmi "Apek" Bintang Sukan Harian Metro Paling Popular 2011

TEKA-TEKI mengenai siapa Bintang Sukan Harian Metro paling popular akhirnya terjawab apabila pembaca memilih Khairul Fahmi Che Mat dan Datuk Nicol David sebagai personaliti paling berwibawa sepanjang 2011.
Bukan satu kejutan apabila Khairul Fahmi yang juga penjaga gol kebangsaan dipilih Atlet Lelaki Pilihan manakala Nicol memenangi kategori Atlet Wanita Pilihan berikutan pencapaian masing-masing di peringkat tempatan dan antarabangsa.


Khairul Fahmi mendapat 57 peratus undian, jauh meninggalkan rakan sepasukannya dalam Harimau Muda, Baddrol Bakhtiar yang menerima 20 peratus. Penyerang sensasi, Safee Sali yang kini berkelana di Pelita Jaya FC, Indonesia berada di tempat ketiga (12), diikuti bintang baru Harimau Muda, Muhamad Nazmi Faiz (6) dan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei (5).

Penguasaan luar biasa Nicol yang sukar dikekang mana-mana pemain terserlah apabila meraih 67 peratus undian, diikuti ratu velodrom yang memenangi tiga pingat emas di Sukan Sea, Fatehah Mustapa (14) di tempat kedua, sebelum diikuti dua penerjun negara, Leong Mun Yee (10) dan Pandelela Rinong (6). Jaguh lompat bergalah, Roslinda Samsu di tangga kelima (3).


Seramai 42,738 responden mengambil bahagian dalam undian yang dibuat menerusi laman web, www.hmetro.com.my/myMetro/Khas/bintangsukan, bagi tempoh 12 Disember hingga 23 Disember lalu.



Selain Atlet Lelaki dan Wanita Pilihan, tiga lagi kategori dipertandingkan - Atlet Antarabangsa Pilihan, Pasukan Malaysia Pilihan, Pasukan Antarabangsa dan Sukan Pilihan.

Kelincahan bintang Barcelona, Lionel Messi memastikannya unggul bagi kategori Atlet Antarabangsa Pilihan dengan menerima 56 peratus undian diikuti pencabar utamanya di Real Madrid, Cristiano Ronaldo yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua (20).


Bekas bintang Manchester United, David Beckham masih belum kehilangan aura meskipun kini beraksi dengan kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy apabila menduduki tempat ketiga (8) dan diikuti jaguh badminton China, Lin Dan (6) serta bintang tenis Rafael Nadal (3).



Bagi kategori Pasukan Malaysia Pilihan, Kelantan FA mengejutkan apabila menjadi pilihan pembaca dengan 54 peratus, meninggalkan dua pasukan bola sepak kebangsaan iaitu Harimau Muda dan Harimau Malaya masing-masing di tempat kedua (26) dan ketiga (20).


Penguasaan bola sepak menenggelamkan peluang calon lain apabila Leong Mun Yee-Pandelela Rinong hanya menduduki tangga keempat (1) manakala beregu badminton utama Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong langsung tidak menerima sebarang undian daripada pembaca.



Pasukan Antarabangsa pula sah menjadi milik Barcelona dengan 31 peratus, diikuti Manchester United (25), Chelsea (12), Liverpool dan Real Madrid (9) serta Arsenal dan Manchester City (7).



Kedudukan bola sepak sebagai sukan nombor satu di negara ini terserlah apabila menerima undian besar kategori Sukan Pilihan, dengan 91 peratus undian. Badminton kedua dengan 6 peratus manakala hoki, sepak takraw, skuasy dan ragbi masing-masing meraih 1 peratus undian.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...